Omar Ahmad


Johor Bahru: "Inilah kali pertama saya lihat ribut, angin bergulung seperti puting beliung sejak menetap di Kampung Pasir, Tampoi sejak 1965," kata Mohd Noor Abdul Rahman, 72.

Mohd Noor berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah dan melihat angin sangat kuat, sehingga pokok kecil di sekeliling patah.

Katanya, tidak berani masuk ke dalam rumah ketika itu kerana bimbang keselamatan diri, jika bumbung atau palang kayu terjatuh akibat angin kuat.

"Saya sudah menetap di Kampung Pasir ini sejak 1965, banjir kilat dan banjir semua saya pernah lalui.

"Tetapi ini kali pertama saya melihat kejadian ribut seumpama ini, angin seperti bergulung-gulung, sangat kuat dengan hujan lebat dan petir.

"Hanya Allah saja yang tahu perasaan ketika itu, saya hanya memohon supaya Allah bantu kami. Kejadian ribut dan angin kuat berlaku dalam tempoh kira-kira 30 minit.

"Saya anggap ini ujian Allah. Allah mahu kita sebagai hamba supaya sentiasa ingat pada-Nya. "Alhamdulillah rumah saya tidak rosak teruk dan keluarga selamat," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir di sini, hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Rosmiyati Anwar, 46, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak, sebelum terdengar bunyi atap bergegar di hadapan rumah.

Katanya, dia bergegas ke depan rumah dan melihat bumbung dapur diterbangkan angin.

"Ketika memasak, saya dengar atap bergegar dan cuba membuka pintu rumah untuk keluar kerana bimbang keselamatan diri dan anak-anak tetapi gagal sebab angin terlalu kuat.

"Saya hanya melihat bumbung rumah berada di halaman rumah jiran. Jauh diterbangkan angin.

"Masa itu, dapur terus masuk air hujan yang lebat, habis banjir. Saya baru pindah di sini Julai lalu, sebelum ini tinggal di Kampung Maju Jaya Seelong untuk elak banjir.

"Bila berpindah ke rumah sewa di sini pun kami kena juga banjir dan ribut juga. Allah mahu menguji saya sekeluarga, saya reda dan berharap ada pihak boleh membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 12:18 PM
ROSMIYATI melihat bumbung dapur diterbangkan ribut. FOTO Omar Ahmad
ROSMIYATI melihat bumbung dapur diterbangkan ribut. FOTO Omar Ahmad