NAJIB RAZAK
NAJIB RAZAK
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Biarpun dibebani dengan hutang dan masalah legasi PSC-Naval Dockyard, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) berjaya menyelamatkan projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV).

Menjelaskan perkara itu, bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak berkata, BNS berjaya menyerahkan enam kapal NGPV antara 2006 hingga 2010.

Katanya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan pembinaan baki 21 kapal NGPV yang bernilai kira-kira RM24 bilion.

"(TLDM dan kerajaan) memilih untuk menggantikan projek ini dengan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi kontroversi besar, hari ini.

"Sebab itu, 'letter of award' (Surat Penganugerahan (LOA) diberi pada 2011 untuk membenarkan BNS mula berunding dengan TLDM dan vendor untuk memajukan projek LCS dan terus membina kebolehan serta kepakaran dalam industri pertahanan negara," katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman semalam berhubung BNS terpaksa menggunakan dana perolehan LCS untuk membayar hutang projek lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kontrak akhir untuk membina enam kapal LCS yang jauh lebih besar dan canggih berbanding NGPV hanya ditandatangani pada Julai 2014, sebelum pembinaan fizikal kapal LCS bermula pada Januari 2015.

"BNS memang akan mencatat keuntungan sekiranya diberi kontrak pembinaan enam kapal LCS dan seperti didedahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan CEO LTAT, syarikat BNS menggunakan RM400 juta daripada bayaran pendahuluan bagi projek LCS untuk menjelaskan hutang lapuk bagi projek NGPV," katanya.

Najib berkata, Limbungan TLDM dikorporatkan kerajaan pada 1991 sebelum dijual kepada syarikat swasta Penang Shipbuilding & Construction Corporation(PSC) untuk menjadi syarikat PSC-Naval Dockyard pada 1995.

"Pada tahun 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan untuk 27 kapal NGPV dengan anggaran bajet RM30 bilion kepada syarikat swasta itu.

"Fasa pertama membabitkan pembinaan enam kapal pertama dengan kos RM6 bilion.

"Namun kontrak ini gagal dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005.

"Maka, kerajaan melalui syarikat Boustead milik LTAT terpaksa 'bailout' (menyelamatkan) projek ini dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005 sebelum dijenamakan semula menjadi syarikat Boustead Naval Dockyard Sdn Bhd," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 3:07 PM