DR Mohd Hayati. FOTO Arkib NSTP
DR Mohd Hayati. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri akan mengkaji dan memperkemaskan peraturan-peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila masyarakat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata langkah itu susulan isu gambar individu berpakaian mencolok mata dalam acara Kedah Fashion Week (KFW) 2022 yang tular semalam.

"Kita sudah memanggil Aman Central, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar untuk mendapatkan maklumat lanjut. Hasil pertemuan itu, difahamkan individu berkenaan bukanlah peserta yang dijemput untuk memperagakan pakaian di dalam acara KFW.

"Identiti individu berkenaan juga difahamkan adalah seorang mak nyah yang berlagak seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai, mengambil gambar serta video dan memuat naik di dalam media sosial," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata tindakan individu berkenaan dipercayai adalah tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen berkenaan tamat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 3:46 PM