BARISAN penaja dan pereka yang akan memeriahkan KFW22 di Aman Central, Kedah.
BARISAN penaja dan pereka yang akan memeriahkan KFW22 di Aman Central, Kedah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Industri fesyen tanah air bakal dimeriahkan lagi dengan penganjuran Minggu Fesyen Kedah (KFW) 2022 yang dijangka bermula 5 Ogos ini.

Acara yang menampilkan pereka dan jenama tempatan serta antarabangsa itu akan diadakan selama tiga hari di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar, Kedah.

KFW yang diadakan sejak 2015 itu menjadi platform inspirasi buat peminat dan pemain industri fesyen tempatan.

Menerusi pembabitan ikon fesyen ternama dalam industri fesyen, KFW22 turut dimeriahkan dengan kehadiran pereka antarabangsa terkenal dari Thailand dan Filipina iaitu Hirankrit Pattaraboribookul serta Edwin Ao.

Pengurus Kanan Komunikasi Pemasaran Aman Sentral, Ken Chin berkata, selepas lebih dua tahun industri fesyen tanah air sunyi seketika akibat penularan pandemik Covid-19, kini ia bakal dimeriahkan kembali dengan penganjuran KFW.

Katanya, acara pembukaan juga membawa kelainan dengan menampilkan barisan pereka baharu yang bakal mewarnai industri fesyen tanah air.

"Ia bakal menjadi pentas untuk pemain industri bertukar pandangan, berkongsi idea dan pengalaman.

"Selain itu, ia juga platform terbaik dalam memperkenalkan dan membawa sesuatu jenama ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hampir 30 pereka dan jenama dijangka mempersembahkan koleksi terbaharu masing-masing di minggu fesyen berkenaan.

Antaranya Bon Zainal, Bytwoo, Amaze, Thalia, Dee Roslan, Taufik Idros Creation, Khuntumn, Wan & Mary, Seth & Luna, Ainahariz, DanielZharifOfficial, Eric Choong dan ramai lagi.

ANTARA rekaan menarik daripada pereka tempatan yang mengambil bahagian dalam KFW22.
ANTARA rekaan menarik daripada pereka tempatan yang mengambil bahagian dalam KFW22.

Pereka duo Amaze, Zeed Jamel dan Amar Madfie berkata, mereka teruja berpeluang menyertai minggu fesyen berkenaan selepas lapan tahun bertapak dalam industri berkenaan.

Kata Zeed, ia adalah penyertaan ketiga jenama itu di pentas KFW dan kali ini, akan menampilkan 12 rekaan istimewa yang mudah disuai padan.

"Sebelum ini, kami dikenali sebagai jenama fesyen untuk majlis perkahwinan, bespoke tetapi kali ini, Amaze akan menampilkan sesuatu yang lain daripada kebiasaan iaitu koleksi menarik pakaian sedia untuk dipakai," katanya.

Sementara itu, acara berkenaan juga akan dimeriahkan dengan penampilan artis popular seperti Khai Bahar, Marsha Milan Londoh dan Dayang Nurfaizah.

Ia juga akan memberi anugerah kepada seorang tokoh fesyen sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau dalam industri fesyen tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 6:20 AM