Anthony Loke
Anthony Loke
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelaksanaan caj permit masuk kenderaan (VEP) bagi kenderaan persendirian asing yang masuk ke negara ini sedang dilakukan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata VEP yang sebelum ini dimulakan di sempadan Malaysia-Singapura akan dipanjangkan di sempadan Malaysia-Thailand sebelum dilaksanakan di sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun perkara ini sudah tentu mengambil masa untuk pelaksanaannya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Rang undang-undang berkenaan kemudiannya diluluskan sidang Dewan Rakyat melalui undian suara.

Beliau berkata ketika ini, Akta 715 iaitu Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 hanya mempunyai kawalan kuasa ke atas kenderaan perdagangan asing.

Untuk kenderaan persendirian pula, katanya kemasukan kenderaan berkenaan tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk kewajipan untuk memohon Permit Peredaran Antarabangsa (ICP).

Sementara itu, berkenaan kehadiran kereta sapu asing di negara ini, Loke berkata melalui pindaan rang undang-undang itu juga, kementerian boleh menetapkan peraturan pelesenan yang seragam kepada kenderaan asing yang beroperasi di negara ini sama seperti peraturan yang ditetapkan kepada kenderaan perdagangan Malaysia.

"Kenderaan sapu ini kelak akan diwajibkan untuk berdaftar dan dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), kalau berkaitan dengan kenderaan asing. Apabila ada punca kuasa ini, maka mereka (pemilik kenderaan asing) juga tertakluk kepada syarat dikenakan kepada kenderaan tempatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diminta untuk menyediakan garis panduan bersesuaian untuk memudahkan penunggang p-hailing mendapatkan Lesen Memandu Vokasional (GDL).

Beliau berkata kementerian berkenaan maklum dengan rungutan penunggang p-hailing berikutan peraturan itu, namun kerajaan sama sekali tidak berniat untuk menyusahkan mereka.

"Kita akan buat secara mudah, hakikat kita nak laksanakan (lesen GDL) adalah supaya mereka ada kesedaran berhubung keselamatan jalan raya," katanya.

Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023.

Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 pula bertujuan meminda Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987, antaranya memperuntukkan kenderaan p-hailing menjadi kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:54 PM