GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Sepang: Majikan diwajibkan menunggu ketibaan pekerja asing baharu mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memastikan pekerja berkenaan mempunyai majikan yang sah, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Khairul Dzaimee berkata, majikan perlu bertanggungjawab menguruskan dokumentasi pekerja berkenaan dan membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja berkenaan.

Beliau berkata, peraturan Jabatan Imigresen itu memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk menerima pekerja asing mereka di KLIA, namun dalam keadaan tertentu, tempoh itu akan dilanjutkan.

"Pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar sepertimana dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka. Peraturan ini bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah.

"Kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal," katanya dalam kenyataan, hari ini, merujuk dakwaan berkaitan pengurusan masuk pekerja asing di KLIA menerusi laman sosial.

Satu hantaran menerusi Facebook mempersoalkan tindakan menghantar balik pekerja asing yang tidak diambil selepas enam jam tiba di KLIA, dan kononnya Jabatan Imigresen tidak mahu mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kelewatan

Menurut Khairul Dzaimee, sejak pembukaan semula sempadan negara, Jabatan Imigresen sudah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 dari 1 April hingga 26 September lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 10:17 AM