GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PENUNTUT Malaysia yang belajar di institusi pengajian luar negara termasuk yang baru menerima tawaran atau ingin mengambil peperiksaan, dibenarkan keluar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada Jabatan Imigresen (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka adalah antara kategori rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara, tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada JIM mulai 24 Jun lalu.

"Mereka perlu menunjukkan pas pelajar / visa / pas jangka panjang / surat tawaran / surat arahan mengambil peperiksaan, serta dokumen sokongan yang berkaitan kepada pegawai Imigresen di pintu masuk," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, kebenaran sama turut diberikan kepada warga negara Malaysia yang pulang ke Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ingin keluar negara bagi yang bermastautin dengan taraf penduduk tetap atau memiliki pas jangka panjang atau bekerja di luar negara.

"Dokumen pembuktian seperti permit kerja atau dokumen sokongan yang berkaitan hendaklah dikemukakan semasa berurusan di kaunter Imigresen, di pintu keluar negara.

"Bagi warga negara yang mempunyai keperluan ke luar negara bagi tujuan menghadiri mesyuarat, seminar, pameran, serta urusan kecemasan dan perniagaan, mereka masih perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk kelulusan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pemohon perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan dokumen sokongan lain melalui emel ke [email protected].

Dalam pada itu, beliau berkata, kategori warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran daripada JIM adalah pemastautin tetap (PR) Malaysia; diplomat; suami / isteri dan anak kepada warga negara Malaysia yang mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang.

Selain itu, pas penggajian (kategori I); pas residen - Talent (RPT); pas tanggungan kepada pas penggajian (kategori I) dan pas residen - Talent dan pembantu rumah asing kepada pas penggajian (kategori I) dan pas residen - Talent.

Khairul Dzaimee berkata, kebenaran itu diberikan tertakluk kepada status pas yang masih sah tempoh.

Warga asing selain daripada kategori yang dinyatakan perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan dokumen sokongan lain melalui emel ke [email protected], katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 5:16 PM