Antara produk ubat-ubatan haram yang dirampas Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan kesihatan Negeri Selangor (CPF JKNS).
Antara produk ubat-ubatan haram yang dirampas Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan kesihatan Negeri Selangor (CPF JKNS).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Wujud jualan ubat suntikan insulin untuk pesakit kencing manis, ubat rawatan jantung, ubat anti kolestrol, ubat rawatan asma dan ubat darah tinggi haram di pasaran.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kegiatan itu dibongkar anggota Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan kesihatan Negeri Selangor (CPF JKNS) susulan maklumat berkenaan sindiket penipuan pembungkusan semula ubat tidak berdaftar dari luar negara.

Menurutnya, sindiket membungkus produk haram berkenaan menyerupai ubat berdaftar sebelum kemudiannya di jual pasaran tempatan.

"Hasil siasatan dijalankan oleh CPF JKNS dengan kerjasama ibu pejabat Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya membongkar aktiviti sindiket berkenaan yang menyasarkan pembungkusan semula ubat berdaftar keluaran jenama terkenal.

"Sehubungan itu JKNS dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tiga serbuan di tiga premis yang dijadikan lokasi pembungkusan, penyimpanan, pengedaran dan penjualan ubat tidak berdaftar berkenaan.

"Hasil serbuan dilakukan, kami berjaya merampas ubat tidak berdaftar bernilai RM1.5 juta.

"Antara ubat-ubatan yang dirampas adalah ubat suntikan insulin untuk pesakit kencing manis, ubat rawatan jantung, ubat anti kolesterol, ubat rawatan asma, ubat darah tinggi dan ubat titis rawatan mata," katanya.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000.

"Pihak JKNS menasihati semua klinik dan farmasi supaya memastikan sumber bekalan ubat-ubatan hanya daripada pemborong berlesen bagi memastikan ubat-ubatan dijual berdaftar dan selamat.

"Pihak JKNS juga menasihati orang ramai untuk membeli dan menggunakan ubat-ubatan serta produk kesihatan yang berdaftar bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan awam terjamin," katanya.

Menurutnya, orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat melalui sesawang http://pharmacy.gov atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:33 PM