MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Ranau: Kehilangan seorang remaja orang kurang upaya (OKU), sejak kelmarin, akhirnya terjawab apabila dia ditemui lemas di Sungai Liwagu Sugud, Telupid, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Carlson Konrad, 13, dilaporkan hilang ketika bersama bapanya di kebun mereka di Kampung Miruru, di sini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mengikut laporan yang dibuat bapa mangsa, dia menyedari kehilangan anaknya selepas terjaga daripada tidur.

Katanya, usaha mencari anaknya terus dilakukan di sekitar kawasan pondok kebun dan sungai berhampiran.

"Bapa mangsa semakin curiga apabila mendapati perahu miliknya yang disimpan di tepi sungai berkenaan juga hilang.

"Bimbang dengan keselamatan anaknya, bapa mangsa terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan mencari anaknya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Simiun berkata, pihaknya menerima laporan daripada Balai Polis Telupid pada 8.30 pagi yang memaklumkan penemuan mayat yang disyaki mangsa kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau bagi tujuan pengecaman dan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Berdasarkan penemuan ini, kes orang hilang ini dianggap selesai dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:06 AM