Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Seramai 73 penjawat awam ditahan untuk siasatan berkaitan kesalahan pemerdagangan orang sejak 2020, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 33 penjawat awam disiasat.

"Daripada jumlah itu, 13 individu sudah dituduh di mahkamah, manakala 16 lagi individu dibebaskan dan empat lagi individu masih dalam siasatan.

"Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula, seramai 40 individu disiasat dengan enam daripada membabitkan siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Lima lagi individu di bawah siasatan Imigresen serta 27 individu dikenakan tindakan tatatertib dan buang kerja selain dua individu meletak jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.

Hamzah berkata, pihaknya memberi tumpuan terhadap isu ini apabila menerima aduan daripada semua pihak dari seluruh dunia.

"Kita cuba segala ada di tangan kita ini dan kalau perlu ditambah baik, kita beri penambahbaikan.

"Sebab itu apa yang kita perlu hari ini adalah kerjasama kerana kita menggunakan dua undang-undang iaitu Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kita tidak mahu lagi dalam negara ada perhambaan moden yang menjadikan imej negara buruk," katanya.

DATUK Seri Hamzah Zainudin. FOTO Aziah Azmee.
DATUK Seri Hamzah Zainudin. FOTO Aziah Azmee.

Mengulas mengenai laporan Malaysia kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022, Hamzah menjelaskan, pihaknya akan mendokumentarikan menerusi rakaman video berkaitan operasi serbuan dan tangkapan yang dijalankan pihak berwajib.

"Dalam beberapa tahun sebelum ini, kita hanya memberikan laporan bertulis untuk Laporan Tahunan Jabatan Negara AS.

"Kali ini saya mahukan supaya video tangkapan dan operasi dibuat. Apabila tangkapan atau individu dibebaskan, ia akan dijadikan sebagai satu dokumentari bahawa ini adalah tugas yang kita lakukan.

"Semua itu kita lakukan untuk maklumkan kepada dunia bahawa kita tidak ambil mudah begitu saja dalam isu ini," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, sebanyak 60 peratus kes diterima adalah membabitkan eksploitasi seks wanita dan kanak-kanak selain berkaitan pemindahan organ manusia dan buruh paksa bagi tempoh 10 tahun.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, seramai 131 individu disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang diselamatkan pihak polis dan agensi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 2:45 PM