Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kertas siasatan sudah dibuka terhadap dakwaan seorang pemilik akaun Facebook (FB) yang dikatakan mempromosikan ajaran Islam Melayu seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau juga sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed mengenainya pada pagi hari ini.

"Kita akan buat siasatan lanjut dan akan berbincang dengan Peguam Negara.

"Jika ada kesalahan dilakukan, kita akan ambil tindakan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu rakaman video yang tular di media sosial membabitkan seorang wanita yang didakwa membawa ajaran dinamakan Islam Melayu.

Sabtu lalu, wanita terbabit memberi tempoh tujuh hari untuk Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nasrudin Hassan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya berhubung kenyataan yang beliau membawa ajaran agama baharu iaitu Agama Melayu.

Individu itu yang menafikan dakwaan itu dengan mendakwa kenyataan Nasrudin menerusi FB pada Jumaat lalu, menimbulkan kebencian awam serta menjatuhkan reputasinya sebagai Tokoh Wartawan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kertas siasatan terhadap 13 laporan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara.

Beliau berkata, selain laporan polis terhadap Anwar, pihaknya turut menerima banyak laporan polis terhadap beberapa ahli politik lain yang dilaporkan menentang Pengisytiharan Darurat itu dan mendesak Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatal pengisytiharan itu.

"Bukan hanya Anwar seorang, malah beberapa orang lagi kita siasat," katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 4:05 PM