Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandang serius berhubung isi kandungan surat dihantar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat terbabit mempunyai implikasi besar terhadap kerjasama pada masa depan antara Umno, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

"Dalam hal ini, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan dalam PN, iaitu Pas, Star, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan jujur serta ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

"Bersatu berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mempengerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di sebuah hotel, di sini.

Mesyuarat itu bermula pada 4.30 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee; Datuk Radzi Jidin serta Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO ihsan KDN.
SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO ihsan KDN.

Selain itu mesyuarat terbabit turut dihadiri Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun serta semua ahli MPT.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat itu, Hamzah berkata, Bersatu menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuh tempoh setahun mentadbir negara.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, kerajaan PN berjaya menjulang prinsip urus tadbir baik, telus serta berintegriti terutama dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

"Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

"Justeru, Bersatu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN," katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan menghantar surat kepada Muhyiddin memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk tidak bekerjasama pada PRU-15.

Surat bertarikh 26 Februari itu menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 10:41 PM