MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED
MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED
Yusmizal Dolah Aling


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) melonggarkan beberapa syarat di bawah Program Subsidi Upah (PSU) bagi membantu kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia termasuk mengurangkan waktu kerja atau gaji sedia ada dengan persetujuan antara majikan dan pekerja.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan memperluaskan liputan dan memfokuskan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk pekerja yang bersetuju cuti tanpa gaji khusus kepada perniagaan yang dilarang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta sektor berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan dan pengusaha hotel.

Katanya, Perkeso juga akan melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja atau Penjana Kerjaya membabitkan peruntukan RM1.5 bilion yang dapat memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.

"Insentif pengambilan pekerja antara RM600 hingga RM1,000 akan diberikan kepada majikan sekiranya mereka menggaji perantis, penganggur termasuk golongan yang kurang diwakili seperti orang kurang upaya (OKU) dan tenaga kerja berusia.

"Program ini merangkumi penyediaan peluang latihan kepada pencari kerja termasuk bukan pencarum Perkeso dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

"Di bawah program ini, pencari kerja yang perlu berpindah ke negeri lain untuk menerima tawaran kerja, akan diberikan elaun mobiliti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, bagi menggalakkan perlindungan keselamatan sosial kepada semua, Perkeso akan melaksanakan program Geran Padanan untuk pekerja Ekonomi Gig dengan peruntukan sebanyak RM50 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pekerja.

Menurutnya, dalam program ini, dana padanan pada nisbah 70:30 atau kira-kira RM162.96 bagi setiap pekerja akan disediakan untuk perlindungan daripada bencana kerja selama satu tahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

"Perkeso juga bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia platform yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Perlindungan Perkeso tidak hanya di tempat kerja, malah melindungi pekerja terbabit kemalangan atau kematian berkaitan pekerjaan ketika bekerja dari rumah (WFH) di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

"Perlindungan ini bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan aktiviti pasaran buruh serta sistem kerja anjal termasuk WFH dalam kalangan pekerja sewaktu wabak Covid-19.

Mohammed Azman berkata, untuk membantu pencari kerja dan melancarkan padanan pekerjaan, pihaknya akan memanfaatkan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MyFutureJobs yang saling berkait dengan fungsi pengurusan kes yang membolehkan Kaunselor Kerjaya Perkeso menyediakan sokongan individu untuk pencari kerja terutama golongan yang mudah terjejas.

Katanya, portal MyFutureJobs Perkeso adalah percuma untuk semua pencari kerja dan majikan yang dibangunkan berdasarkan kerangka Perkhidmatan Pekerjaan Awam mengikut definisi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Beliau berkata, Perkhidmatan Pekerjaan Negara merangkumi penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya, kaunseling mendalam bagi golongan yang mengalami kesulitan, bantuan mobiliti, bantuan kewangan untuk kehilangan pekerjaan dan program pasaran buruh aktif.

"Semua inisiatif ini akan dilaksanakan mulai 15 Jun 2020. Pengemaskinian insentif pengambilan pekerja akan dimuat naik ke www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 6:39 PM