Kanak-kanak yang ditempatkan di PPS menyertai aktiviti di Pusat Sokongan Sosial Setempat anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini. FOTO BERNAMA
Kanak-kanak yang ditempatkan di PPS menyertai aktiviti di Pusat Sokongan Sosial Setempat anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini. FOTO BERNAMA
Safuri Kamarudin


Baling: Seramai 550 mangsa banjir daripada 131 keluarga di daerah ini berada di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 3 petang hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata berbanding semalam hanya 239 mangsa sahaja tetapi hari ini bertambah 311 menjadikan jumlah keseluruhan 550 mangsa.

Menurutnya, 206 mangsa daripada 58 keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai manakala 258 mangsa daripada 58 keluarga berada di PPS Surau An-Nur, Taman Mesra, Kupang dan 85 mangsa dengan 15 keluarga di PPS Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang.

"Pertambahan ini kerana mereka yang bercuti dan berhari raya di rumah sanak saudara mara pulang semula ke PPS hari ini.

"Ada di antara mereka pulang cuti sekolah dan sambut hari raya Aidiladha di luar sebelum pulang semula untuk persekolahan esok," katanya.

Rasidah berkata, banyak rumah yang belum dicuci sepenuhnya selain penuh dengan sampah sarap menyebabkan mangsa tidak dibenarkan pulang.

"Banyak barang yang rosak termasuk perkakasan memasak dan peralatan lain serta ketiadaan air bersih menyukarkan mangsa menguruskan rutin harian.

"Jadi mereka terpaksa tinggal lagi di PPS dalam jangka waktu yang lama sehingga keadaan pulih sepenuhnya dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 4:19 PM