ISMAIL Sabri ketika di Parlimen hari ini. FOTO Ihsan PMO.
ISMAIL Sabri ketika di Parlimen hari ini. FOTO Ihsan PMO.
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Parlimen atas kejayaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti pada hari ini.

Perdana Menteri berkata, ucapan tahniah dan terima kasih itu ditujukan kepada Ahli Parlimen daripada blok Kerajaan, pembangkang dan bebas di atas sejarah yang tercipta apabila RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

"Hari ini, sejarah tercipta apabila pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

"RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada daripada blok Kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah pada hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan syabas kepada semua Ahli Parlimen yang berada di dalam dewan yang menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen.

"RUU ini terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan membabitkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

"Rang Undang-Undang ini penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan," katanya.

Beliau turut berterima kasih juga kepada semua 54 Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

"Ini adalah isyarat yang jelas Ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 7:40 PM