Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Loji Rawatan Air (LRA) Tualang 2 mampu menampung keperluan 5,000 pengguna di tujuh kampung utama, daerah ini dengan kapasiti 20 juta liter sehari (JLH).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembinaan projek itu akan memenuhi permintaan air di bandar Kuala Krai; Kampung Guchil; Kampung Sungai Durian; Kampung Sedek; Kampung Tualang; Kampung Batu Lada; Taman Kuala Krai; Taman KK Height dan kawasan Projek Rumah Bantuan Rakyat.

Katanya, sebelum ini bandar Kuala Krai dan kawasan berkenaan menerima air terawat daripada LRA Tualang Lama dan LRA Pahi.

"Pembinaan Projek LRA Tualang 2 dimulakan pada 27 Oktober 2017 melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kos berjumlah RM49 juta dan siap sepenuhnya pada 27 Oktober 2019, serta diambil alih Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada 30 November 2020.

"Antara skop utama dalam pembinaan Projek LRA Tualang 2 ini ialah dua telaga jejari dengan kapasiti 10 JLH setiap satu; sebuah LRA dengan kapasiti 20 JLH; paip air mentah bergaris pusat 400 milimeter (mm); dan paip air terawat bergaris pusat 450 mm," katanya yang ditemui selepas merasmikan LRA Tualang 2 dekat Kampung Batu Lada, di sini hari ini.

Dr Azuhan Mohamed (kanan) memberi taklimat mengenai proses rawatan air di LRA Tualang 2  kepada Ahmad Yakob (kiri) . FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Dr Azuhan Mohamed (kanan) memberi taklimat mengenai proses rawatan air di LRA Tualang 2 kepada Ahmad Yakob (kiri) . FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Turut hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengurus Besar AKSB Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed.

Ahmad berkata, LRA itu beroperasi dengan memproses sumber air mentah telaga jejari sebelum melalui pengoksidaan bertekanan tinggi (Special Aerator Nozzle), rawatan air melalui Sistem Chemilles dan air terawat disalurkan ke tangki Bukit Lada serta kepada pengguna.

"Dengan beroperasinya LRA Tualang 2, 'reserve margin' bekalan air terawat di jajahan Kuala Krai mencecah 20 peratus.

"Selain itu, operasi LRA ini juga akan dapat mengatasi masalah air di kawasan yang tinggi dan di lokasi kampung yang berada di hujung paip agihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 2:14 PM