FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bagi menghadapi gangguan bekalan air sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan lebih 450 tangki statik (TS) di lokasi strategik untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air.

AKSB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menjangkakan penggunaan bekalan air terawat meningkat semasa cuti perayaan pada 1 dan 2 Februari ini.

Katanya, ia berikutan ramai penduduk yang pulang ke kampung untuk menziarahi kaum keluarga dan ada yang balik untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga.

"Keadaan ini akan meningkatkan permintaan air dan AKSB membuat persediaan awal bagi menghadapi perayaan ini. Kesemua Loji Rawatan Air (LRA) AKSB beroperasi pada kapasiti maksimum dengan jumlah pengeluaran air melebihi 500 juta liter sehari (JLH).

"Kerja penyelenggaraan di LRA juga boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat dihentikan buat sementara waktu.

"Justeru, lebih 450 TS diletakkan di lokasi strategik untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air jika berlaku gangguan bekalan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, AKSB turut menyediakan sembilan lori tangki air milik AKSB dan 30 lori air kontrak (LAK) yang disewa melalui peruntukan kerajaan negeri untuk mengisi air di TS dan menghantar air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan.

Katanya, unit pembaikan paip AKSB, Unit Mekanikal dan Elektrikal AKSB di seluruh jajahan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kejadian di luar jangka seperti insiden paip pecah dan kerosakan pam.

"Unit Hal Ehwal Pelanggan AKSB (Pintas) sentiasa bersedia untuk menerima aduan berkaitan gangguan bekalan air melalui talian 15777 bermula 8 pagi hingga 10 malam atau WhatsApp ke 019-5755777.

"Selain itu, pengguna juga boleh membuat aduan menerusi emel ke [email protected] atau muat turun aplikasi MyAKSB melalui Google Play Store dan App Store untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan AKSB. AKSB mengharapkan supaya semua pelanggan menggunakan air secara berhemah dan membuat laporan insiden paip bocor atau pecah pada kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 1:26 PM