AHMAD Yakob. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Yakob. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Masalah Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok di sini yang gagal menghasilkan air terawat pada kadar 30 juta liter sehari (JLH) seperti piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang bertanggungjawab dalam mengendalikan pengurusan pembekalan air di seluruh negeri telah mengemukakan tiga cadangan mengatasi masalah itu.

"Hari ini kami datang untuk melihat dan nak tahu kenapa (LRA Kampung Telok) tidak dapat mencapai 30 JLH, cuma 10 JLH sahaja. Menerusi penjelasan tadi, kami dapati LRA berkenaan ada sumber air mencukupi tetapi mengandungi ion yang tinggi.

"Dalam taklimat tadi, tiga cadangan telah diberi yang akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengarah. Insya-Allah dalam masa empat bulan loji ini mampu mengeluarkan air terawat dengan kualiti diterima KKM," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Kampung Telok di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Datuk Azami Mohd Nor serta Pengurus Besar AKSB Datuk Dr Azuhan Mohamed.

Difahamkan tiga cadangan yang dikemukakan AKSB untuk memastikan LRA Kampung Telok mampu mengeluarkan 30 JLH air terawat ialah melantik pihak ketiga bagi kerja penambahbaikan dan penamatan kontrak pihak kontraktor loji.

Satu lagi cadangan ialah AKSB menerima LRA Kampung Telok dengan kapasiti 10 JLH sebelum melantik pihak ketiga untuk kerja penambahbaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 3:29 PM