Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah minggu lalu.

Tertuduh, Yip Simon, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa tanpa sebarang kebenaran atau kuasa dalam mana-mana Akta Dadah Berbahaya 1952 mengedar dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,356 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kawasan tempat letak kereta Pusat Makanan Gunung Rapat Enam Enam Jalan Raja Musa Mahadi pada 4.40 petang, 21 Julai 2022.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2), akta sama.

TERTUDUH (kanan) di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L Manimaran
TERTUDUH (kanan) di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L Manimaran

Kesalahan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Matthews.

Matthew memohon mahkamah memberi kebenaran anak guam dibawa ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan berhubung fakta yang akan memberi kelebihan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada jaminan ditawarkan selain menetapkan 11 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, Matthews ditemui di luar dewan mahkamah berkata, isteri kepada tertuduh yang turut ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 12:37 PM