K. Thinagaran, 38, didakwa mengedar dadah seberat 569.5 kilogram. FOTO Muhaizan Yahya.
K. Thinagaran, 38, didakwa mengedar dadah seberat 569.5 kilogram. FOTO Muhaizan Yahya.
Zahratulhayat Mat Arif


SEORANG peniaga besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas tuduhan mengedar 569.5 kilogram dadah, dua minggu lalu.

Tertuduh K Thinagaran, 38, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah itu di kawasan parkir di Kilometer (KM) 213, Hentian Rehat Taiping, Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pada 5.30 petang, 12 Januari 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz Abd Razak, manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.

Tertuduh tidak dibenar diikat jamin dan mahkamah menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan rakaman keterangan tertuduh.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumkan polis mematahkan cubaan menyeludup syabu bernilai RM28.47 juta yang diangkut menggunakan sebuah lori kontena dan menahan tiga lelaki di Perak dalam tempoh tiga jam bermula 4 petang, hari berkenaan.

Beliau berkata, lori kontena yang dipandu seorang lelaki 40 tahun ditahan anggota polis dan dibantu Peronda Lebuh Raya Expressway Mobile Patrol Vehicle (EMPV) di hentian berkenaan ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Kenderaan itu dipercayai dari Lembah Klang ditahan selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut, menemui 569.5 kilogram dadah dipercayai syabu.

Hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, polis turut menyerbu sebuah premis di Ipoh dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, manakala satu lagi tangkapan pada hari sama membabitkan tertuduh di Plaza Tol Bidor.

Polis percaya syabu berkenaan adalah untuk diseludup ke pasaran antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:41 PM