GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif


Arau: Polis memberkas seorang lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan penahanan sepasang kekasih sebelum ini yang dipercayai terbabit dengan beberapa sembilan kes ragut di sekitar Arau dan Kangar sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Baru, Simpang Empat, Kangar sekitar 2.30 petang semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai sebelum ini menerima cincin emas yang disyaki disamun rakan sejenayahnya sebelum menjual cincin berkenaan di sebuah kedai emas di Kangar.

"Malah, suspek juga dipercayai bersama suspek utama kes ini melakukan perbuatan jenayah ragut di sekitar kawasan Kangar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek kini direman sehingga 3 Ogos hadapan untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, suspek utama bagi kes ragut bersiri berkenaan kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk siasatan lanjut.

Reman lelaki yang berusia 27 tahun itu yang tamat hari ini di IPD Arau tidak disambung sebaliknya diserahkan kepada polis IPD Kangar manakala teman wanitanya yang berusia 42 tahun pula dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 21 Julai lalu, polis menahan sepasang kekasih kerana dipercayai terbabit sekurang-kurangnya sembilan kes jenayah ragut di sekitar daerah Arau dan Kangar sejak dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 8:08 PM