GAMBAR hiasan bagang. FOTO Ihsan ESSCOM
GAMBAR hiasan bagang. FOTO Ihsan ESSCOM
BERNAMA

Kota Kinabalu: Pemantauan pihak berkuasa mendapati bagang atau platform menangkap ikan di pesisir pantai yang dibina secara haram semakin bertambah di kawasan perairan Kudat, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Hamzah Ahmad.

Beliau berkata, situasi itu dibimbangi akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan masyarakat khasnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Justeru katanya, ESSCOM akan melaksanakan Operasi GASAK Laut (Bagang) secara bersepadu membabitkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah bagi merobohkan bagang itu.

Operasi pada Khamis ini (28 Julai) akan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 48 (1)(j) Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (Pindaan 2007), Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan undang-undang lain yang berkaitan, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, pihak penguat kuasa Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah akan mengeluarkan Notis Pengosongan dan Perobohan ke atas bagang haram semasa operasi dilaksanakan.

"Mana-mana individu atau pihak lain yang mempunyai bagang haram di sepanjang perairan pantai timur Sabah adalah dinasihatkan untuk segera mengosong dan merobohkan struktur berkenaan sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan," katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan struktur atau bagang haram boleh di perairan Esszone melaporkan segera ke Pusat Operasi Esscom di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 5:43 PM