Bagang yang dibina secara haram atau menyalahi syarat  lesen di perairan Kalumpang, Sabah, dirobohkan ketika operasi hari ini. - Foto ESSCOM
Bagang yang dibina secara haram atau menyalahi syarat lesen di perairan Kalumpang, Sabah, dirobohkan ketika operasi hari ini. - Foto ESSCOM
Norasikin Daineh


Tawau: Sebanyak 92 bagang tidak berlesen dirobohkan melalui Operasi Bersepadu Khas yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di perairan Kalumpang, kira-kira 30 batu nautika dari Tawau.

Ketua Staf Bahagian Penguatkuasaan Maritim ESSCOM Laksamana M Karunanithi berkata, operasi bermula jam 7 pagi hingga 3 petang tadi, ditumpukan di kawasan bagang didirikan secara haram dan beroperasi di luar kawasan zon dibenarkan seperti termaktub dalam syarat lesen dikeluarkan Jabatan Perikanan.

"Operasi ini bertujuan mendidik masyarakat yang terbabit dalam aktiviti di laut, termasuk pengusaha bagang supaya mematuhi peraturan dan syarat lesen.

"Ia antara inisiatif ESSCOM dan Jabatan Perikanan membersihkan kawasan berkenaan daripada unsur jenayah kerana hasil operasi ini, kita turut mengesan sebahagian bagang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Ia juga berkemungkinan dijadikan persinggahan penjenayah melakukan jenayah di laut seperti rompakan dan penyeludupan," katanya ketika mengetuai operasi berkenaan.

Karunanithi turut berkata, selain ESSCOM dan Jabatan Perikanan, operasi itu turut disertai Jabatan Perhutanan, Jabatan Laut, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 8:12 PM