Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: "Negara mengalami kerugian agak besar. Kita menganggarkan RM60 juta sehari dan jika 60 hari, jumlah lebih besar..itu anggaran kasar sahaja..belum termasuk kontrak yang hilang dan sebagainya dari sektor perkayuan," ujar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menjangkakan sektor perkayuan akan kembali beroperasi selepas pekerja sektor berkenaan lengkap menerima dua dos vaksin menerusi Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS).

Beliau berkata, sejumlah 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot mula menerima vaksin secara berperingkat sejak 28 Julai lalu di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC @Olak Lempit di sini, tadi.

"Kita menjangkakan seramai 10,000 pekerja akan mendapat suntikan vaksin dan sebahagian besar mereka adalah warga asing yang bekerja di sektor perkayuan.

"Bagi sektor perkayuan, vaksin yang diberikan adalah Sinovac secara percuma dari kerajaan. Cuma syarikat perlu membayar bagi pihak pekerja untuk kos pengurusan sahaja sebanyak RM70.

"Program vaksinasi ini akan berakhir pada 18 September (pekerja lengkap dua dos). Pertengahan September ini kita jangka sektor perkayuan mampu menjalankan semula operasi kerana (pekerja) sudah menerima vaksinasi penuh," katanya semalam.

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya amat berharap industri perkayuan kembali beroperasi supaya negara kembali memperoleh pendapatan dari sektor itu.

"Ketika ini sektor perkayuan berhadapan dengan keadaan agak suram kerana tidak dapat beroperasi selama dua bulan. Ini menimbulkan kerisauan kehilangan kontrak-kontrak dalam pasaran yang berlaku sekarang," katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada sidang media selepas meninjau pekerja industri perkayuan dan perabot di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) menerima vaksin  di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit, Banting. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada sidang media selepas meninjau pekerja industri perkayuan dan perabot di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit, Banting. FOTO FAIZ ANUAR

Mengulas mengenai program vaksinasi itu katanya, operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada pekerja sektor agrikomoditi tanpa perlu bergantung kepada PPV Awam yang

mempunyai kekangan tersendiri.

"Dalam menyokong usaha kerajaan mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, pihak industri digalakkan terbabit secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada

Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

"Bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui KPPK sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan itu.

"Pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:11 PM