GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Essa Abu Yamin

Muar: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasar untuk tingkatkan eksport satu juta tan minyak kelapa sawit ke negara Turki bermula tahun 2022.

Menteri KPPK Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihak KPPK melakukan memorandum persefahaman (MOU) dengan Turki bagi memperkukuhkan lagi pasaran minyak kelapa sawit di negara itu.

"Tukri pintu masuk ke negara Balkan dan sebahagian pintu masuk ke negara Iran serta menjadi destinasi penting bagi sektor sawit Malaysia.

"Dengan komitmen besar negara itu, kita memperoleh angka yang tinggi untuk tahun ini. InsyaAllah, kita akan bergerak mencapai satu baru iaitu 1 juta tan setahun," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SKT Banquet Hall 68, Sungai Abong dekat sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, untuk peringkat awal, Malaysia meletakkan sasaran eksport minyak sawit ke Turki sebanyak 500,000 tan bermula tahun ini sebelum angka itu dijangka meningkat.

"Sasaran tertinggi yang kita letakkan ini untuk tahun hadapan, bagi tahun ni kita letak angka sekitar 500,000 dahulu. Tetapi dengan kekuasaan pasaran sedia ada dan MOU yang dicipta bersama dua ke tiga pihak, insyaAllah sasaran itu boleh dicapai pada masa akan datang," katanya.

MOHD Khairuddin (kanan) ketika mengadakan lawatan Program Imunisasi Industri COVID-19 PIKAS di PPV SKT Banquet Hall 68, Sungai Abong. FOTO Essa Abu Yamin
MOHD Khairuddin (kanan) ketika mengadakan lawatan Program Imunisasi Industri COVID-19 PIKAS di PPV SKT Banquet Hall 68, Sungai Abong. FOTO Essa Abu Yamin

Sementara itu, beliau berkata, seramai 21,703 pekerja menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19, di tiga Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) dalam negara, menerusi Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) sehingga semalam.

"Program yang berjalan sejak 1 Julai lalu itu, bertujuan mempercepatkan vaksinasi kepada barisan hadapan ekonomi, khusus kepada sektor Agrikomoditi.

"Seramai 11,048 pekerja divaksinasi di PPVIN Muar manakala 3,749 penerima, divaskinasi di PPVIN Ladang Tennamaram, dan 6,906 orang di PPVIN Olak Lempit, Selangor," katanya.

Katanya, di daerah Muar ia adalah satu usaha untuk memastikan sektor perkayuan boleh beroperasi dengan segera, kerana sejak dua bulan, sektor perkayuan tangguh operasi melainkan ada kontrak dengan peringkat antarabangsa sahaja.

"Sejak dua bulan lalu, industri perkayuan negara mengalami kerugian kira-kira RM60 juta sehari.

"Selain itu KPPK sudah memohon kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membuka PPVIN untuk menjalankan vaksinasi kepada 30 ribu pekerja sektor Getah dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 1:39 PM