GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kemahiran dan ilmu pengetahuan berkaitan penyaman udara yang dipelajarinya disalah guna lelaki warga asing untuk melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Malah suspek berusia 26 tahun dan rakan senegaranya berusia 22 tahun turut menjual penyaman udara yang dicuri di kedai besi buruk bagi menyara perbelanjaan harian mereka.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan mereka Khamis lalu di kawasan Ampang Jaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang lelaki bekerja sebagai pegawai bank berusia 36 tahun membuat laporan polis pada 19 Julai lalu selepas rumahnya di Taman Dagang, di sini, dipecah masuk.

Menurutnya, barangan yang hilang adalah beberapa unit penyaman udara, ketuhar, dapur dan empat set jeriji tingkap.

"Susulan itu pada 4 petang Khamis lalu, sepasukan anggota polis melakukan tangkapan dan rampasan di kawasan Ampang serta Kuala Lumpur.

"Tangkapan membabitkan dua lelaki warga asing yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek pertama berusia 22 tahun memiliki satu rekod jenayah manakala suspek kedua berusia 26 tahun memiliki lima rekod jenayah lampau.

"Polis juga merampas beberapa barang kes lain antaranya komponen penyaman udara dan beberapa alatan pecah rumah.

"Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah mengumpil jeriji tingkap bilik kemudian masuk ketika ketiadaan orang di rumah.

"Pihak polis berjaya menyelesaikan lima kes di daerah Ampang Jaya susulan penahanan mereka," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 3:49 PM