GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Tiga lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah sekolah swasta di Taman Ampang Utama, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun yang juga pengusaha sekolah swasta berkenaan jam 11 pagi, 6 Mei lalu.

"Menurut pengadu, sebaik tiba di pejabatnya, dia menyedari tingkap bilik terbabit dalam keadaan tidak berkunci dan terdapat kesan umpil.

"Pengadu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah decoder di pejabatnya dan 13 komputer riba pelbagai jenis di makmal komputer di tingkat satu hilang yang disyaki dicuri dengan kerugian dianggarkan RM8,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan tiga lelaki warga asing termasuk bekas pelajar di sekolah swasta berkenaan berusia 19 hingga 20 tahun jam 3.50 petang, semalam.

"Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dilakukan di Jalan Ampang Kiri, Taman Ampang Utama dan Jalan Putra Sulaiman Ampang yang membawa kepada rampasan satu beg, lapan komputer riba dan dua telefon bimbit.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek yang juga pelajar dan juruwang berkenaan didapati negatif dadah," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 6:15 PM