Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Polis Perak mengesahkan menerima laporan berhubung kes rogol remaja perempuan dipercayai membabitkan seorang penceramah bebas yang ditahan di Selangor, semalam.

Difahamkan, laporan itu diterima pada Ahad lalu membabitkan seorang remaja berusia 14 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung laporan itu.

"Ada satu laporan polis diterima di sini (Perak) dan kita sedang menjalankan siasatan. Untuk komen lanjut kita tunggulah (dahulu) kerana siasatan awal dibuat (oleh pihak polis) Selangor.

"Saya difahamkan, suspek juga sudah ditahan dan kemungkinan dia akan diserahkan kepada kontinjen Perak untuk kita meneruskan siasatan bagi laporan polis yang kita terima," katanya ringkas ketika ditemui pada Lawatan Kerja dan Amanat Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso.

Mior Faridalathrash (kiri) melepaskan burung tekukur sempena Lawatan Kerja dan Amanat Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Mior Faridalathrash (kiri) melepaskan burung tekukur sempena Lawatan Kerja dan Amanat Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Media hari ini melaporkan, seorang penceramah bebas ditahan polis, semalam selepas dipercayai terbabit kes rogol perempuan berusia 14 tahun.

Setakat ini, empat kertas siasatan sudah dibuka iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak membabitkan pengadu yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 10:11 PM