Rosman Shamsudin

Slim River: Polis Perak melakukan pemeriksaan terhadap 6,379 kilang dan kawasan perindustrian di seluruh negeri dalam operasi bersepadu Op Patuh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 76 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kompaun dikeluarkan itu termasuk 21 kompuan daripada Op Covid-19 yang bermula pada 17 Jun sehingga 23 Jun lalu kepada pengusaha kilang kerana beroperasi tanpa surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Hari ini, pihak polis menjalankan operasi bersepadu melalui Op Patuh bersama agensi penguatkuasaan dalam lain di tiga kawasan di negeri Perak iaitu Daerah Tengah, Muallim dan Kampar.

"Hasil pemeriksaan terhadap 10 kilang di tiga daerah berkenaan, tujuh kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Datuk Mior Faridalathrash Wahid (tengah) ketika sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Datuk Mior Faridalathrash Wahid (tengah) ketika sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.

Beliau berkata demekian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, dekat Slim River.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, antara kesalahan dilakukan termasuklah majikan gagal memastikan jarak fizikal katil asrama pekerja, tidak mengimbas MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

"Hasil operasi bersepadu dalam Op Patuh di kawasan kilang di Daerah Muallim mendapati tahap pematuhan SOP memuaskan.

"Sekarang negeri ini sudah memasuki fasa kedua Plan Pemulihan Negara (PPN) dan kita dapati tahap pematuhan SOP semakin tinggi dan berharap kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi terus patuh SOP dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 4:10 PM