TIGA maut di tempat kejadian dalam kemalangan motosikal Ahad lalu. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
TIGA maut di tempat kejadian dalam kemalangan motosikal Ahad lalu. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang daripada mangsa kemalangan motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, pada Ahad lalu sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Manakala seorang lagi kini masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seorang lagi mangsa, Mohd Haziq Harris, 34, pula disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang ketika menerima rawatan.

"Polis dimaklumkan oleh pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa (kelima) yang dirawat sudah meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

"Mangsa yang dibenarkan pulang berusia 19 tahun manakala seorang lagi berusia 22 tahun.

"Ia menjadikan keseluruhan yang maut dalam kejadian itu ialah seramai lima orang, katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan mengenai tiga penunggang motosikal yang maut di lokasi nahas manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di HPP.

Mangsa yang maut ialah Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.

Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 7:46 PM