Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Semalam saya dan ayah doakan jika dia mahu 'pergi', pergilah dengan tenang, kami reda jika itu takdirnya.

"Selepas itu saya bermimpi abang naik tangga hingga ke atas, mungkin itulah petanda bahawa dia mahu tinggalkan kami."

Begitu kata Siti Hadilah Harris, 30, adik kepada Mohd Haziq Harris, 34, mangsa kelima kemalangan membabitkan motosikal di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, Ahad lalu.

Allahyarham Mohd Haziq meninggal dunia pada jam 2.15 petang tadi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat pelbagai kecederaan.

Siti Hadilah berkata, Mohd Haziq seorang yang pendiam dan tidak bercakap banyak serta manja dengan bapanya.

Katanya, sebelum ini dia tidak rapat dengan Mohd Haziq namun abangnya menunjukkan sikap penyayang sejak kebelakangan ini.

"Dulu dia hanya 'buat hal' sendiri, namun kebelakangan ini, kami menjadi rapat dan dialah tempat saya mengadu semua masalah atau jika ingin bercerita.

"Kami sekeluarga selalu menasihatinya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal tetapi tidak sangka nyawanya melayang dalam insiden itu," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HPP, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4.40 pagi itu, tiga penunggang motosikal maut dilokasi manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPP.

Ia menjadikan keseluruhan lima yang maut dalam nahas itu manakala dua lagi masih dirawat di hospital yang sama.

Sementara itu bapa, Harris Shariff, 71 berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak ketiganya itu ialah pada jam 11.30 malam sebelum kejadian dan Mohd Haziq membeli beberapa keperluan dapur.

Katanya, ketika itu dia menasihati Mohd Haziq supaya tidak keluar bersama rakannya pada malam minggu berkenaan.

"Selepas itu dia keluar rumah dengan menaiki motosikal milik abangnya dan beritahu mahu keluar sekejap sahaja.

"Memang hancur hati saya bila mengetahui dia terbabit kemalangan dan cincin yang dibeli kepada saya beberapa bulan lalu akan menjadi kenangan.

"Jika sudah ajal, cepat atau lambat tiada sesiapa pun yang mampu menghalangnya," katanya lagi.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran Permatang Tok Elong, Bukit Mertajam.

Terdahulu, mangsa yang maut ialah Muhamad Eizreel, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.

Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

habis

GEORGETOWN 19 JULY 2022. Harris Shariff (kiri), 71, menunjukkan foto anaknya, Mohd Haziq Harris, 34, mangsa kelima nahas membabitkan motosikal di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini. NSTP/ FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 6:24 PM
HARRIS bersama anaknya Siti Hadilah ketika ditemui di HPP hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
HARRIS bersama anaknya Siti Hadilah ketika ditemui di HPP hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI