TUAN Ibrahim (tengah) ketika melawat pameran sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda. FOTO Noorazura Abdul Rahman
TUAN Ibrahim (tengah) ketika melawat pameran sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan dan membuat tindakan terhadap tiga kolam takungan air ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, Baling.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana pihaknya yakin kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan memantau semua projek pembangunan di Kedah dengan sebaik mungkin.

"Kita serahkan kepada kerajaan negeri, projek itu dilaksanakan oleh syarikat anak kerajaan negeri, mereka pantau perkara itu dan ia sudah pastinya akan disusuli dengan tindakan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan buat keputusan selepas melihat sejauh mana ancaman dan bahayanya kolam takungan itu kepada penduduk di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan langkah untuk mengeringkan tiga kolam takungan air di gunung berkenaan yang dipercayai menjadi punca kepada kejadian banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi, Baling pada 4 Julai lalu.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengeringkan tiga kolam takungan air sebesar gelanggang futsal yang ada di gunung itu secepat mungkin kerana bimbang banjir puing akan berulang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menegaskan langkah mengeringkan tiga kolam takungan air ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas dianggap tidak akan memberi apa-apa kesan kepada persekitaran kawasan berkenaan.

Katanya, dakwaan bahawa tiga kolam di puncak Gunung Inas menyebabkan perasaan tidak selamat dalam kalangan penduduk sekitar adalah hanya spekulasi semata-mata.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata dua empangan sabo yang akan dibina di kaki Gunung Inas sedang dalam proses lantikan kontraktor dan dijangka akan siap sepenuhnya tahun ini juga.

"Di Kedah, sebanyak tujuh empangan sabo akan dibina iaitu dua di Yan, dua di Baling dan tiga lagi tambahan di kawasan baharu. Setakat ini, satu telah siap di Yan manakala di Baling peruntukan sudah ada tetapi sedang dalam proses lantikan kontraktor.

"Apabila siap nanti, kita harap ia dapat mengurangkan impak dengan memperlahankan aliran air sungai dan menyekat aliran puing sekiranya berlaku banjir akibat hujan lebat seperti sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 3:24 PM