PATI warga Myanmar yang ditahan anggota PGA8 dalam kejadian di Kampung Sapi, Jeram Perdah, di sini, jam 1 tengah hari, semalam. FOTO ihsan POLIS
PATI warga Myanmar yang ditahan anggota PGA8 dalam kejadian di Kampung Sapi, Jeram Perdah, di sini, jam 1 tengah hari, semalam. FOTO ihsan POLIS
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Usaha 51 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar menyorok di dalam semak bagi mengelak dikesan gagal apabila mereka ditahan pada Ops Wawasan di Kampung Sapi, Jeram Perdah di sini, jam 1 tengah hari semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, warga asing yang ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) itu membabitkan 47 lelaki dan empat wanita berusia 17 sehingga 51 tahun.

"Ketika kejadian, anggota bertugas membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan sebelum mengesan kehadiran kumpulan warga asing terbabit.

"Kesemuanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian. Mereka disyaki memasuki sempadan negara secara haram melalui jalan sungai.

"Kesemuanya dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya pada kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kesemua warga asing terbabit masuk ke sini untuk bekerja dalam bidang perkilangan dan pembinaan di Lembah Klang.

"Mereka merentas sempadan menggunakan perahu melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dijemput oleh anggota sindiket dan dibawa menaiki kenderaan ke lokasi transit. Kumpulan itu kemudiannya akan dihantar ke destinasi dituju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 12:20 PM