Nilai: Campur serbuk kristal ketamin bersama pelbagai jenis kacang. Itu modus operandi dilakukan sindiket pengedaran dadah untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke negara ini.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan rampasan 42 kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, 4 Julai, sebelum menemui dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM13.48 juta yang dianggarkan rampasan terbesar tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita 42 kotak di Kompleks Kargo KLIA, pada 11 malam, 4 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui 49 bungkusan plastik yang mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis ketamin berat kasar 245 kilogram (kg) yang disorokkan bersama biji kacang.

"Siasatan awal mendapati dagangan itu dieksport dari sebuah negara di Eropah kemudian transit di sebuah negara Timur Tengah sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir," katanya ketika sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan, di sini, hari ini.

Zazuli berkata, sindiket mengikrarkan barang berkenaan sebagai 'haricot vert' atau kacang hijau sedangkan didalamnya terdapat bungkusan kacang yang bercampur dengan serbuk kristal putih disyaki dadah.

Katanya, ini adalah kes pertama yang kami temui menggunakan modus operandi membungkus dadah bercampur kacang dalam plastik produk bijirin.

Namun, beliau berkata, ia seakan taktik sama dengan kes sebelum ini yang menyorok dadah dalam bungkusan bahan lain.

"Hasil risikan juga mendapati pengimport memalsukan pengikraran ketika proses pengimportan yang mana tindakan ini secara langsung menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek masih dikesan dan siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zazuli berkata, Cawangan Narkotik JKDM turut menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk racun seberat 1,036 kilogram dari Januari hingga awal Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 4:07 PM