BERNAMA

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup ganja dengan menyembunyikannya di dalam dua kotak permainan ke negara ini menggunakan khidmat kurier dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney, Georgetown, Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Johari Alifiah berkata, Cawangan Narkotik bersama Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM menerima maklumat mengenai bungkusan yang mengandungi bahan mencurigakan dikirim dari Amerika Syarikat (AS) sebelum bertindak mengesan penerimanya menerusi syarikat kurier yang menghantar bungkusan itu.

"Berikutan itu, pihak kastam menahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang bekerja sebagai penyelia di gedung pakaian di pusat beli-belah berkenaan pada 3.30 petang.

"Pemeriksaan lanjut di dalam bungkusan yang diikrarkan sebagai permainan kanak-kanak berkenaan menemui 480 gram ganja dianggarkan bernilai RM4,800," katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai sudah beberapa kali membeli dadah dari luar negara dengan menggunakan taktik itu sebelum mengedar bahan terlarang terbabit kepada pelanggannya di sekitar Pulau Pinang.

Mengulas mengenai modus operandi menghantar dadah menerusi khidmat syarikat kurier ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, Johari berkata, kaedah itu dilakukan bagi mengelirukan dan didakwa selamat daripada dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, JKDM mempunyai kepakaran dan teknologi bagi mengesan sebarang cubaan aktiviti penyeludupan terutama berkaitan dadah, arak dan rokok seludup.

ZAZUL menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Ahmad Hasbi.
ZAZUL menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Ahmad Hasbi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 5:53 PM