Ahmad Hasbi


Nilai: Lelaki bergelar Datuk antara yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas cuba menyeludup keluar dadah jenis methaphetamine yang dianggarkan bernilai RM14.4 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 31 Ogos lalu.

Dalam serbuan kira-kira 4 pagi itu, sindiket dikesan membungkus dadah seberat 400 kilogram (kg) dalam bungkusan teh dan mengikrarkan sebagai troli barang.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dadah berkenaan disimpan di dalam dua kotak kayu besar untuk dieksport ke luar negara.

"Cawangan Narkotik JKDM Ibu Pejabat berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methaphetamime melalui perkhidmatan kargo udara di Kompleks Kargo KLIA.

"Bertindak atas maklumat, kami menyita dua kotak kayu. Hasil pemeriksaan, kami menemui lapan kotak yang mengandungi 400 bungkus teh berisi bahan kristal jernih dipercayai dadah jenis methaphetamine seberat 400kg dan dianggarkan bernilai RM14.4 juta," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, susulan rampasan berkenaan pihaknya menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 56 tahun termasuk seorang bergelar Datuk di lokasi dan waktu sama untuk membantu siasatan.

"Kami sedang mengenalpasti fungsi ketiga-ketiga lelaki ini termasuk peranan Datuk yang berusia 48 tahun berkenaan. Hasil siasatan juga kami mendapati sindiket ini sudah melakukan 11 penghantaran dadah ke luar negara sejak tahun lalu," katanya.

Abdul Latif berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli barang di dalam dua kotak kayu besar.

"Bagaimanapun ia sebenarnya mengandungi kotak yang berisi dadah yang disorok bersama pakaian. Modus operandi menggunakan bungkusan teh sudah sering digunakan, namun masih menjadi pilihan sindiket.

"Perintah reman terhadap suspek selama 14 hari bermula 31 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan dadah, minuman keras dan rokok dengan memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 12:22 PM
ABDUL Latif pada sidang akhbar rampasan dadah jenis methamphetamine dengan anggaran RM14.4 juta di Cawangan Narkotik Kastam Kampung Jijan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ABDUL Latif pada sidang akhbar rampasan dadah jenis methamphetamine dengan anggaran RM14.4 juta di Cawangan Narkotik Kastam Kampung Jijan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin