AZIZAH (tengah) merasmikan premis Canggih Go di Cyber Perdana Commercial Centre. FOTO Ihsan MARA
AZIZAH (tengah) merasmikan premis Canggih Go di Cyber Perdana Commercial Centre. FOTO Ihsan MARA
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan merujuk kepada peguam agensi itu untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan asetnya di luar negara turut dijadikan sasaran waris kesultanan Sulu.

Ia berikutan rampasan dilakukan pihak terbabit melalui peguam mereka terhadap dua aset anak syarikat Petronas di Azerbaijan susulan keputusan Mahkamah Timbang di Perancis yang memerintahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) berhubung tuntutan ke atas Sabah pada awal tahun ini.

Pengerusi Mara Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya akan memerhatikan perkembangan perkara itu memandangkan Mara turut memiliki beberapa aset di luar negara.

"Memang kita ada aset di luar negara tetapi perkara ini (rampasan pihak Sulu) baru kita dapat tahu. Namun, kita akan pastikan pegawai Mara atau wakil kita di luar negara supaya menjaga aset kita.

"Kita juga akan merujuk perkara ini dengan peguam kita untuk melihat perkembangan ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan program usahawan Mara Canggih Go, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan aset Mara di luar negara turut menjadi sasaran rampasan wakil waris kesultanan Sulu selepas tindakan mereka merampas aset milik dua anak syarikat Petronas yang dianggarkan bernilai lebih AS$2 bilion di Azerbaijan.

Semalam, Petronas mengesahkan aset dua anak syarikatnya di Azerbaijan, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à.r.l menerima notis 'Saisie-arret' daripada peguam dilantik waris kesultanan Sulu.

Dalam laporan sebelum ini, rampasan itu dikatakan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya sebelum ini bagaimanapun berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion itu kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 1:36 PM