Siti Rohana Idris


Tumpat: Sudah empat bulan Mohd Nawi Mustapha dari Kampung Berlian di sini, hanya terlantar kaku di katil kerana diserang strok.

Tidak mampu menggerakkan sebarang anggota badan, Mohd Nawi, 44, diuruskan sepenuhnya oleh isterinya, Asleeraini Abdul Ghani, 43 yang juga seorang surirumah.

Asleeraini, berkata, suaminya hanya mampu membuka mata sahaja dan setiap kali dia memberi kata-kata semangat, hanya air mata sahaja mengalir di mata suaminya menandakan dia seakan memahami keadaan mereka sekeluarga.

"Suami rebah secara tiba-tiba sebaik pulang ke rumah dari kerja dan tubuhnya terus lemah menyebabkan kami segera membawanya ke Hospital Tumpat.

"Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan disahkan mengalami strok otak malah injap jantungnya juga dikesan tersumbat," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Terdahulu mereka menerima kunjungan Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan zakat dan susu khas serta lampin pakai buang untuk kegunaan Mohd Nawi.

Asleeraini berkata, sebelah kanan tubuh suaminya sudah lumpuh dan doktor juga tidak dapat meramalkan sama ada keadaan Mohd Nawi akan pulih atau tidak namun dia tetap berharap akan berlaku keajaiban.

"Tubuh suami semakin cengkung dan hanya bergantung kepada susu khas sahaja yang diberi lima kali sehari.

"Setiap hari kami juga mengurut anggota badannya dan membuat fisiologi seperti yang diajar dan jauh di sudut hati saya sangat berharap suami dapat kembali sembuh walau tidak pulih sepenuhnya sekalipun cukuplah kalau dia dapat bersuara," katanya.

Asleeraini menyifatkan suaminya yang menyara keluarga sebagai mekanik adalah seorang yang kuat bekerja kerana melakukan pelbagai kerja sampingan termasuk membuat rumah bagi menampung hidup mereka sembilan beranak.

Katanya lagi, apabila Mohd Nawi diuji sakit sebegitu, mereka sekeluarga terputus sumber pendapatan dan hanya mengharapkan sedekah jiran dan rakan yang datang menziarah sahaja termasuk perbelanjaan persekolahan empat anak mereka.

"Anak yang sulung berumur 20 tahun dan hanya bekerja kampung sahaja manakala enam yang lain masih ditanggung sepenuhnya termasuk tiga yang bersekolah di sekolah rendah serta seorang sekolah menengah.

"Kami juga sedang membuat permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diharapkan dapat kelulusan segera kerana perbelanjaan susu khas serta lampin pakai buang suami tinggi dan merisaukan saya," katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Asleeraini di talian 01125471975.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 2:46 PM
ASLEERAINI memberi susu khas kepada suaminya Mohd Nawi Mustapha, 44, yang terlantar akibat strok otak di rumahnya di Kampung Berlian, di sini. FOTO Siti Rohana Idris
ASLEERAINI memberi susu khas kepada suaminya Mohd Nawi Mustapha, 44, yang terlantar akibat strok otak di rumahnya di Kampung Berlian, di sini. FOTO Siti Rohana Idris