ROHAIDATUL (kanan) menziarah Rosnah dan Kamarulzaman yang terlantar akibat angin ahmar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ROHAIDATUL (kanan) menziarah Rosnah dan Kamarulzaman yang terlantar akibat angin ahmar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

KEHIDUPAN lima beranak di Seri Iskandar berubah sepenuhnya selepas ketua keluarga mereka terlantar akibat angin ahmar, sejak sebulan lalu.

Surirumah, Rosnah Nordin, 49, berkata, suaminya, Kamarulzaman Ibrahim, 53, mempunyai penyakit darah tinggi dan kini lumpuh sebelah badan bahagian kanan serta tidak boleh bercakap akibat angin ahmar.

Menurutnya, sejak itu suaminya tidak boleh bekerja dan perbelanjaan keluarga ditanggung anak ketiga yang bekerja di pasar raya.

“Suami diserang angin ahmar ketika mahu bersiap ke tempat kerjanya dan saya melihat dia terbaring di atas katil dengan mulut yang sudah herot serta tidak boleh bertutur dengan sempurna.

“Sejak itu, anak sulung terpaksa bercuti sementara waktu kerana membantu saya menguruskan suami dan membawanya ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Rosnah ditemui bersama aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh yang turut menyampaikan sumbangan di rumah sewanya di Jalan Bandar Universiti 21, Seri Iskandar, hari ini.

Katanya, suaminya yang sebelum ini bekerja di kedai percetakan hanya boleh minum susu khas yang berharga RM62 sekotak dan menggunakan lampin pakai buang.

“Suami terpaksa minum susu menggunakan tiub dan sekotak susu hanya tahan tiga hingga empat hari saja membuatkan kami bimbang kerana pendapatan anak tidak seberapa dan perlu membayar sewa rumah serta bil lain.

“Kelengkapan sekolah anak bongsu, Amirul Farhan, 11, juga masih belum dibeli tetapi bernasib baik kerana dia baru saja mendapat bantuan persekolahan,” katanya.

Rosnah berkata, dia merasa hilang punca dan buntu memikirkan persekolahan anak dan keperluan susu serta lampin pakai buang Kamarulzaman.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi anak sulung Rosnah, Amirul Fitri di talian 013-7935549.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 5:46 PM