WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Undang-undang berkaitan anti lompat parti dijangka akan mula dilaksanakan menjelang penghujung September tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Merujuk laporan FMT yang memetik The Borneo Post, undang-undang yang mengekang tindakan lompat parti oleh ahli Parlimen itu akan diwartakan pada tempoh berkenaan.

Jelas Wan Junaidi, rang undang-undang (RUU) terbabit akan dibentangkan pada hari pertama sidang Parlimen, Isnin depan.

"Undang-undang itu sedia untuk dibentangkan. Saya mempunyai garis masa dan ia akan dibentangkan pada 18 Julai," katanya.

Menurut Wan Junaidi, beliau optimis RUU itu akan dibahas dengan jayanya seterusnya diluluskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebelum undang-undang terbabit berkuasa kuasa.

Wan Junaidi sebelum ini pernah berkata, RUU Anti Lompat Parti akan dibentang dan dilaksanakan sebelum PRU-15.

Beliau juga membayangkan Parlimen ada budi bicara untuk meluluskan RUU itu tanpa persetujuan Kabinet kerana ia sudah diperhalusi susulan pelantikan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Memetik laporan The Borneo Post, Wan Junaidi berkata, PSC adalah instrumen Parlimen sekali gus tidak perlu menjawab kepada cabang Eksekutif.

Bagaimanapun, beliau akan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperoleh konsensus daripada jemaah menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 7:20 PM