WAN  Junaidi. FOTO Arkib NSTP
WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sudah dimuktamadkan Jawatankuasa Pilihan Khas dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya 18 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jawatankuasa akan bermesyuarat minggu depan untuk meneliti laporan penuh cadangan itu sebelum dibawa ke Parlimen selepas lima kali mesyuarat diadakan.

Katanya, RUU Anti Lompat Parti ini akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a).

Wan Junaidi berkata, pindaan juga akan dibuat dalam Perkara 160 dan Jadual Lapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, RUU ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar daripada parti yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) untuk masuk ke parti lain.

"Ahli Parlimen yang bertanding sebagai calon bebas namun selepas menang kemudiannya menyertai parti politik lain juga akan terpakai bagi RUU ini.

"Dalam dua keadaan ini, Ahli Parlimen yang terbabit perlu mengosongkan kerusi mereka seterusnya PRU perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari selepas Speaker Dewan Rakyat menerima maklumat mengenai perkara berkenaan (lompat parti).

"Menerusi cadangan RUU itu juga, Ahli Parlimen yang disingkirkan daripada parti yang diwakili ketika menang PRU tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, jika berlaku kekosongan kerusi, Speaker Dewan Rakyat perlu mengesahkan perkara itu dalam tempoh 20 hari.

Katanya, dalam tempoh itu Speaker akan memberi notis kepada SPR mengenai kekosongan kerusi sebelum pilihan raya diadakan.

"Saya akan mengusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar RUU ini dibentangkan namun terpulang kepada beliau sama ada ia akan dibentangkan dalam Persidangan Khas Parlimen atau persidangan seterusnya Julai ini.

"Jika ia dibentangkan dalam persidangan khas, saya jangka RUU ini boleh digunakan pada September dan selewat-lewatnya Januari depan jika menanti sidang Parlimen pada Julai ini," katanya.

Beliau berkata, bagi membolehkan RUU ini diluluskan, seramai 148 Ahli Parlimen perlu menyokong ketika pembentangan kelak.

Namun, katanya, beliau yakin RUU ini mendapat sokongan hasil daripada komitmen yang ditunjukkan setiap parti yang berada Jawatankuasa Pilihan Khas selain respons baik yang diterima daripada ramai Ahli Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 5:10 PM