Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Aliran trafik di daerah Kota Bharu masih lancar walaupun sudah ramai perantau mulai pulang ke negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Tinjauan di beberapa laluan masuk ke bandar Kota Bharu iaitu di Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Tunjong, Jalan Sultan Yahya Petra dan Jalan Kuala Krai mendapati laluan trafik tenang dan tidak berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa.

Bagi kakitangan swasta, Ibrahim Jusoh, 62, berkata, sebelum ini kebiasaannya sehari sebelum hari raya, keadaan jalan di bandar Kota Bharu agak sesak dengan peningkatan jumlah kenderaan apabila ramai yang keluar untuk membuat persiapan terakhir.

"Namun, pada hari ini saya melihat tidak ada kesesakan yang luar biasa sehingga mengganggu aliran trafik, malah tempat tumpuan seperti pasar dan pusat beli belah juga tidak 'kalut' dengan orang ramai.

"Bagaimanapun harus diingat meskipun kelonggaran rentas negeri sudah dibenarkan dan ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung, namun dalam masa sama perlu berwaspada kerana bimbang akan berlaku peningkatan jangkitan kes Covid-19 walaupun sudah berada dalam fasa endemik," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, di sini, hari ini.

Bagi perantau, Siti Nuraisyah Ibrahim, 34, berkata, sebelum penularan Covid-19 dua tahun yang lalu, jalan utama di bandar di Kota Bharu sentiasa sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang sibuk membuat persiapan membeli barang untuk Aidiladha.

"Saya keluar dari rumah pada jam 10 pagi dan sepanjang perjalanan untuk ke bandar Kota Bharu, tidak ada kesesakan yang berlaku malah jumlah kenderaan juga seperti biasa.

"Trafik sangat lancar, tidaklah sesak sangat dan kalau sesak pun memang saya sudah jangka kerana raya tahun ini memang ramai orang pulang ke kampung masing-masing, katanya.

Sementara itu, seorang peniaga Muhammad Hazwan Ahmad Zaidi, 30, berkata, aliran trafik di Kota Bharu masih lagi lancar dan kebanyakan orang ramai sudah membuat persiapan beberapa hari lebih awal untuk mengelakkan kesesakan.

"Kalau ikutkan keadaan lalu lintas, ia masih lagi lancar, walaupun banyak kenderaan, tetapi masih boleh bergerak dan tidak tersekat seperti kebiasaannya.

"Bagaimanapun, saya dan isteri memilih untuk membuat persiapan lebih awal kerana menjangkakan ramai perantau pulang ke kampung dan keadaan itu dibimbangi memberi tekanan apabila berada dalam kesesakan lalu lintas yang terlalu lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 12:27 PM
TINJAUAN di beberapa laluan masuk ke bandar Kota Bharu mendapati laluan trafik agak tenang dan tidak berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di beberapa laluan masuk ke bandar Kota Bharu mendapati laluan trafik agak tenang dan tidak berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar