SIK (kanan) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya di SJR Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim
SIK (kanan) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya di SJR Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Aliran lalu lintas masih lancar di daerah ini tanpa peningkatan jumlah kenderaan berikutan kebenaran rentas negeri bagi individu lengkap dos vaksin bermula hari ini.

Ini berikutan rakyat masih bekerja dan sesi persekolahan diteruskan menyebabkan golongan perantau belum berpeluang pulang ke kampung.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sejak rentas negeri dibenarkan mulai 12.01 tengah malam tadi, belum berlaku peningkatan kenderaan di jalan di daerah ini.

Katanya, aliran trafik masih terkawal dan keadaan seperti biasa sebelum ini sehingga ke petang ini tanpa ada sebarang kesesakan.

"Bagaimanapun, kita jangka peningkatan kenderaan mungkin berlaku pada Jumaat atau Sabtu ini berikutan cuti hujung minggu apabila perantau akan pulang ke kampung.

"Ketika ini, kita terus memantau aliran trafik di jalan utama Kuala Lipis-Gua Musang menuju ke Kota Bharu," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Puteh, di sini, hari ini.

Sik berkata, perantau mungkin sudah bersedia untuk pulang ke kampung selepas lama tidak berjumpa ibu bapa akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Perlu diingatkan, kebenaran rentas negeri hanya untuk mereka lengkap vaksin dan perlu patuh prosedur operasi standard (SOP).

"Setiap kenderaan yang melalui SJR hanya dipantau dari segi jenayah kerana pengguna sudah boleh bergerak bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:57 PM