JALAN Gua Musang-Kuala Lipis semakin sibuk dengan kenderaan perantau yang ingin kembali ke ibu kota. FOTO Paya Linda Yahya
JALAN Gua Musang-Kuala Lipis semakin sibuk dengan kenderaan perantau yang ingin kembali ke ibu kota. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Perjalanan hampir 10 jam dari Kota Bharu ke Gua Musang terpaksa ditempoh perantau untuk kembali pulang ke Ibu Kota, hari ini.

Seorang perantau Wan Ibrahim Wan Harun, 38, berkata dia bersama keluarga bertolak dari Kota Bharu pada 3.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Namun katanya berlaku kesesakan teruk di laluan Machang ke Kuala Krai.

"Saya merancang untuk pulang ke Kuala Lumpur hari ini kerana menjangkakan akan berlaku kesesakan lebih teruk pada esok.

"Kira-kira 10.30 pagi tadi saya sampai di Hentian Gua Musang untuk berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

"Saya difahamkan terdapat juga kesesakan berhampiran Kuala Lipis dan berharap semoga dipermudahkan perjalan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di Hentian Gua Musang, di sini, hari ini.

Manakan bagi Rohani Sulaiman, 44, berkata, dia sudah menjangkakan akan berlaku kesesakan apabila pihak Polis menjangkakan semalam perantau akan pulang ke Ibu Kota.

"Jadi saya memilih untuk bertolak pulang hari ini supaya dapat berehat pada esok hari sebelum memulakan kerja pada Isnin.

"Saya memilih menggunakan laluan Gua Musang-Jeli untuk ke Shah Alam. Alhamdulillah perjalan kami dipermudahkan walaupun terdapat banyak kenderaan tetapi trafik agak lancar," katanya.

Tinjauan mendapati laluan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis kembali sibuk dengan dengan kenderaan perantau yang menjadikan daerah sebagai pintu ke luar dari negeri ini.

Miskipun begitu trafik di daerah ini lancar dan hanya berlaku kesesakan di susur masuk Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Mentara.

Terdahulu media melaporkan Polis menjangkakan daerah ini akan kembali menerima kemasukan kenderaan perantau yang pulang ke ibu kota bermula Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga lalu-lintas yang dijangka sibuk bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 11:12 AM