LALUAN trafik di jalan Gua Musang - Kuala Krai lancar. FOTO Paya Linda Yahya
LALUAN trafik di jalan Gua Musang - Kuala Krai lancar. FOTO Paya Linda Yahya
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Peningkatan kenderaan yang memasuki negeri ini menerusi empat laluan utama sudah mencecah 20 peratus setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, peningkatan dilihat bermula sejak pagi tadi di empat sempadan utama Kelantan iaitu Gua Musang, Jeli dan dua laluan di Pasir Puteh.

"Setakat ini, paling tinggi peningkatan berlaku di Gua Musang dan Kuala Krai, manakala untuk sempadan Jeli-Gerik (Perak) pula, peningkatan lalu lintas berlaku kira-kira lima peratus.

"Bagaimanapun, keadaan lalu lintas semua lokasi setakat ini sangat lancar dan selain Gua Musang dan beberapa lokasi di Pasir Mas yang agak perlahan keadaan trafik.

"Kami jangkakan peningkatan akan terus meningkat menjelang petang ini dan semakin sesak waktu malam nanti kerana perantau sudah mula memasuki negeri ini untuk menyambut Aidilfitri," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Shuhaimi berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk sebarang penugasan dalam mengawal lalu lintas dan menghadapi kesesakan luar biasa yang bakal berlaku kerana sudah dua tahun perantau tidak pulang ke kampung halaman.

Beliau menjangkakan kesesakan akan berterusan menjelang pagi Aidilfitri kerana mungkin ada yang baru mendapat pelepasan dan cuti atau sengaja bertolak pulang di saat akhir.

"Pihak kami sentiasa bersedia untuk mengawal lalu lintas dalam masa yang sama menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 4:10 PM