Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Program Jualan Kasih Aidiladha Keluarga Malaysia di Merlimau Utara, Jasin, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Program Jualan Kasih Aidiladha Keluarga Malaysia di Merlimau Utara, Jasin, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

Melaka: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan lembu diimport dari Thailand untuk tujuan korban Aidiladha, Ahad ini, bebas sebarang penyakit.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata, pihaknya menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sentiasa mengawal ketat kemasukan lembu yang diimport di pintu sempadan bagi mengelakkan haiwan berpenyakit memasuki negara ini.

Katanya, selain itu, JPV juga akan memastikan lembu berkenaan sudah disahkan selamat oleh pihak berkuasa Thailand sebelum menjalani kuarantin serta pemberian vaksin khas di negara ini.

"Kita mahu memastikan lembu yang diimport itu selamat dan bebas daripada penyakit kulit kental (LSD) serta penyakit kuku dan mulut (FMD) sebelum diedarkan untuk tujuan jualan di negara ini.

"Semua haiwan ternakan akan menjalani pemeriksaan dan kuarantin terlebih dahulu di negara asal dan negara ini selain menyuntik vaksin khas JPV sebelum dibenarkan untuk dijual," katanya selepas meninjau Program Jualan Kasih Aidiladha Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Jasin, di Merlimau Utara di sini, tadi.

Program itu memberi peluang pengguna mendapatkan bekalan keperluan harian dengan harga yang sangat berpatutan.

Antara barangan terbabit adalah ayam bulat yang dijual pada harga RM10 seekor, minyak masak paket (RM5 untuk tiga paket), ayam Qfish (RM5 sekilogram), sayuran (RM5 seiikat), nanas jenis MD2 (RM5 sebiji) serta pelbagai jenis buah-buahan.

Program anjuran bersama Pejabat Parlimen Jaisn serta beberapa agensi di bawah MAFI Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya terpaksa mengimport 12,000 lembu dari Thailand bagi menampung permintaan pengguna, khususnya umat Islam pada Aidiladha ini.

Katanya, sejak kebenaran import lembu dari negara jiran itu dibuat, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penularan wabak penyakit membabitkan haiwan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:47 PM