Amir Mamat


Jasin: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengesahkan larangan pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand yang dikuatkuasakan sejak pertengahan tahun lalu sudah dimansuhkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, penarikan semula larangan itu berkuatkuasa 15 Mac lalu, dengan beberapa syarat ketat dikenakan terhadap pihak berkuasa Thailand sebelum dibenarkan membawa masuk haiwan ternakan itu ke Malaysia.

Menurutnya, antara syarat terbabit, lembu dan kerbau perlu menjalani tempoh kuarantin selama 35 hari di fasiliti kuarantin bagi lembu ternakan dan tenusu, manakala 28 hari kuarantin bagi lembu sembelihan.

Katanya, selain itu, mereka perlu memastikan tiada jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD) serta Tuberculosis.

"Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan mengesahkan haiwan ternakan itu bebas daripada sebarang penyakit sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

"Jika haiwan itu disahkan dijangkiti wabak LSD atau FMD serta Tuberculosis, tidak akan dibenarkan dibawa masuk kerana kita perlu memastikan kesihatan pengguna serta ternakan lain terdedah kepada penyakit," katanya.

Lembu yang terlepas. FOTO tangkap layar video tular
Lembu yang terlepas. FOTO tangkap layar video tular

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Festival Kuih Tradisional, peringkat Negeri Melaka, di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, di sini hari ini.

Untuk rekod, pada pertengahan Jun tahun lalu, kerajaan terpaksa menghentikan serta-merta import lembu dari Thailand berikutan ruminan itu dijangkiti LSD.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 3:15 PM