GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Minyak masak paket bersubsidi bukan hanya menjadi rebutan pengguna domestik dan peniaga kecil, malah kekurangan bekalannya di pasaran turut berpunca daripada aktiviti ketirisan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, faktor minyak masak paket bersubsidi kekurangan di pasaran bukan hanya digunakan untuk keperluan pengguna domestik, namun menjadi buruan peniaga kecil selain aktiviti penyelewengan dan penyeludupan.

Katanya, perlu ada satu mekanisme menyeluruh bagi membanteras habis-habisan sebarang bentuk aktiviti penyelewengan minyak masak paket bersubsidi yang kekurangan bekalannya semakin kritikal.

"Sekarang kerajaan perlu mengambil langkah proaktif membanteras sebarang ketirisan untuk memastikan bekalan itu benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

"Kalau ikutkan pada asasnya memang akan cukup menampung keperluan isi rumah tidak kira pendapatan rendah atau tinggi.

"Mungkin kalau betul pun minyak paket ini turut digunakan peniaga kecil, saya rasa masih boleh mencukupi.

"Tetapi apa yang kita bimbangkan jika sebahagian jumlah minyak masak paket ini turut diseludup ke luar negara seperti Thailand atau sekarang ini timbul juga isu penyelewengan minyak paket dicampur dengan miyak terpakai dan sebagainya untuk kegunaan biodiesel," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas isu kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran yang semakin meruncing ketika ini.

Mengulas lanjut katanya, isu kekurangan bekalan minyak paket bersubsidi ini bukan baharu, namun pada masa ini kelihatan semakin kritikal disebabkan pemansuhan subsidi minyak botol, 1 Julai lalu.

"Kerajaan juga perlu memantau pihak pembungkus yang dilantik supaya mereka membungkus minyak masak secara pukal itu mengikut kuota ditetapkan kerajaan dan mengelak menyeleweng ke tempatlain.

"Mungkin tindakan itu akan menggunakan ramai penguat kuasa tetapi untuk langkah pendek bagi memastikan bekalan mencukupi dan sampai kepada golongan sasaran. Perkara itu memang terpaksa dilakukan semula.

"Selain itu, semua pihak termasuk pemilik pasar raya, kedai dan pengguna sendiri perlu bekerjasama memaklumkan kepada pihak berkaitan jika bekalan berkurangan di tempat mereka supaya siasatan lanjut boleh dilakukan mencari punca dan menyelesaikan masalah kekurangan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 12:18 PM