Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan kejadian bencana banjir lumpur yang berlaku di Baling, Kedah semalam, sehingga mengorbankan tiga nyawa.

Ismail Sabri berkata, walaupun berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, beliau sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

"Saya mengarahkan Setiausaha Politik Datuk Mohammad Anuar mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

"Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye," katanya dalam kenyataannya di Facebook.

Beliau juga sudah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa banjir.

"Saya doakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini.

"Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:45 PM