PANGLIMA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ketika hadir melihat proses pada misi penghantaran bantuan kemanusiaan gempa bumi ke Syria di Pangkalan Udara TUDM Subang. FOTO Bernama.
PANGLIMA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ketika hadir melihat proses pada misi penghantaran bantuan kemanusiaan gempa bumi ke Syria di Pangkalan Udara TUDM Subang. FOTO Bernama.
BERNAMA

Subang: Misi penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia ke Syria yang dilanda gempa bumi awal bulan ini, berlepas dengan menaiki pesawat pengangkut A400 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, malam ini.

Penerbangan khas membabitkan 51 kru dan wakil kementerian serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) itu berlepas pada pukul 10.15 malam tadi dari Pangkalan Udara TUDM Subang, di sini.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memaklumkan sebanyak 42 tan barangan bantuan kemanusiaan untuk Syria sumbangan rakyat Malaysia yang dikumpul sejak 15 Februari lepas, dibawa bersama pesawat tersebut.

"Barangan itu ialah makanan siap sedia dimakan, barangan keperluan bayi, bekalan ubat-ubatan, empat generator, pakaian dan selimut, kelengkapan perlindungan diri, khemah, karpet dan pemisah untuk ruangan dalam (indoor separators).

"Penerbangan ke Syria itu akan mengambil masa 17 jam 30 minit melalui ruang udara beberapa negara membabitkan dua persinggahan teknikal dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada tengah hari esok," menurut kenyataan itu.

Selain itu, ucapan penghargaan turut diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang menyahut seruan untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Syria.

Menurut kenyataan itu kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan daripada Kementerian Luar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan serta NGO-NGO sejak 15 Februari, telah memastikan usaha pengumpulan dan penghantaran barang-barang ini berjalan dengan lancar dan teratur.

"Antara NGO yang turut menjayakan misi ini adalah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Mercy Malaysia, BeVital Ihsan Johor, RED A Humanitarian, Malaysia For Syria, Wisma Putra Global Peace Mission, Mahar, MCRD, Shine Catholic Church, Yemeni School Foundation dan Syrian People Malaysia," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Siti Zanariah Nor Zin turut menyertai pasukan misi bantuan berkenaan untuk membuat liputan di Syria.

Siti Zanariah berkata biarpun ini bukan kali pertama beliau membuat liputan mengenai bencana alam di luar negara, beliau tetap teruja kerana insiden gempa bumi yang melanda Syria dan Turkiye disifatkannya sebagai sangat dahsyat.

"Saya berharap barangan yang dibawa dari sini ke Syria dapat disalurkan dengan baik kepada mangsa-mangsa yang terjejas dan semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang mereka hadapi," katanya sebelum berlepas malam ini.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Februari lepas meragut beribu-ribu nyawa. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 12:03 AM